KUALA LUMPUR: Pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre dipanggil untuk memberi keterangan, hari ini susulan tindakannya memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, rakaman percakapan itu dibuat bagi membantu siasatan terhadap kandungan yang didakwa menghina Institusi Diraja.
Menurut MCMC, siasatan dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 khususnya Seksyen 233, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam masa sama, Polis Diraja Malaysia turut menjalankan siasatan selari di bawah Akta Hasutan 1948 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan berunsur penghinaan melampau terhadap Institusi Diraja kerana ia bukan sahaja mencalar maruah institusi berkenaan, malah berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.
“Perbuatan sebegini boleh menjejaskan keyakinan masyarakat dan mencetuskan ketegangan, khususnya dalam negara yang berbilang kaum,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar lebih berhemah dalam menggunakan media sosial dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan kandungan berunsur hasutan, fitnah atau penghinaan terutamanya melibatkan Institusi Diraja.
Tegas MCMC, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan sedia ada.










