Himpunan Dikecam Kerana Banyak Larangan, Dr Musa Akhirnya Tampil Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Ekoran kritikan daripada pelbagai pihak yang hadir ke perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, semalam, Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin memohon maaf atas ‘kekurangan’ yang berlaku.

Menerusi hantaran di platform X, Dr Musa bagaimanapun mempertahankan tindakan penganjur dengan berkata peraturan yang diambil oleh pihak penganjur adalah selaras dengan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.

Terdahulu rata-raya peserta yang hadir mengecam penganjur kerana meletakkan pelbagai syarat termasuk melarang pemaparan sepanduk yang mengecap Presiden Israel Benjamin Nentayahu.

“PDRM memberi arahan yang jelas kepada pasukan keselamatan kami untuk mengambil tindakan pantas terhadap ucapan kebencian, poster dan ejen provokator yang berniat untuk menggagalkan perhimpunan kemanusiaan dan aman kami.

“Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan kami,” katanya.

Dalam masa yang sama Dr Musa menegaskan tidak timbul sebarang isu mengenai laungan takbir ‘Allahu Akbar’.

Ini kerana Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan Nurul Izzah Anwar turut melaungkan takbir ketika berucap.

“Isu takbir bukan isu, Nurul Izzah dan Badlishah bertakbir ketika berucap. Ramai yang bertakbir yang kami tidak hentikan.

“MC (juru acara) hanya mengingatkan bahawa ini adalah perhimpunan berbilang agama dan kita patut membuat nyanyian yang semua orang boleh sertai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles