Himpunan Dikaitkan Ahmadiyah Qadiani Digempur, 300 Peserta Ditahan

KOTA KINABALU: Sebanyak 300 individu termasuk 12 individu yang dikenal pasti sebagai pemimpin serta penganjur utama ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah program keagamaan di Dewan SM Lok Yuk, Likas, hari ini.

Tindakan itu diambil selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menerima aduan awam berkaitan penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei lalu dan dipercayai melibatkan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati program berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) bersama ahli-ahli dari beberapa kawasan di Sabah.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mengesahkan program itu mempunyai kaitan dengan Ahmadiyah Qadiani yang telah diwartakan sebagai ajaran sesat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah sejak tahun 2007.

Dalam operasi bersepadu tersebut, pihak berkuasa turut menyita pelbagai bahan yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyebaran fahaman berkenaan.

Antaranya termasuk 24 banting yang memaparkan tokoh pengasas dan pemimpin utama kumpulan itu, selain kira-kira 200 buku serta bahan bacaan berkaitan.

Turut dirampas ialah dokumen penganjuran program, rekod kehadiran peserta, bahan penerbitan dan beberapa dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan tersebut.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi sebelum siasatan lanjut dijalankan oleh JHEAINS.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

Syed Lot menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menyalahi fatwa yang telah diwartakan.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya mendapatkan rujukan agama daripada institusi dan pihak berautoriti yang diiktiraf bagi mengelakkan terpengaruh dengan fahaman yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Ahmadiyah Qadiani sebelum ini turut difatwakan terkeluar daripada Islam oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada 2004, dengan umat Islam dinasihatkan menjauhi sebarang bentuk ajaran yang dikaitkan dengan fahaman tersebut.

BBerkaitan

Latest articles