Hassan Saran Anwar Tangguh PRU16, Beri Masa Kerajaan Buktikan Prestasi

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran supaya tidak tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sebaliknya memanfaatkan baki tempoh penggal kerajaan untuk memperkukuhkan prestasi pentadbiran sebelum kembali mendapatkan mandat rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penggal Parlimen ketika ini wajar diteruskan sehingga penghujung tahun depan dengan PRU-16 hanya diadakan selewat-lewatnya pada awal 2028.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat susulan prestasi Pakatan Harapan (PH) yang tewas berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus memberi isyarat bahawa kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk memulihkan keyakinan pengundi.

Katanya, tempoh kira-kira 18 bulan yang masih berbaki sebelum PRU-16 seharusnya dimanfaatkan bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan benar-benar memberikan kesan yang boleh dirasai rakyat.

“Hasil usaha kerajaan terutama dalam aspek ekonomi memerlukan masa untuk diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Walaupun nilai ringgit semakin kukuh dan kadar inflasi berada pada paras rendah, ramai yang masih belum merasai manfaatnya secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sebuah sampan kepada sukarelawan skuad bencana dan sesi minum pagi bersama komuniti Flat Taman Molek, hari ini.

Hassan berpandangan, sekiranya PRU-16 diadakan dalam masa terdekat, kerajaan berdepan risiko gagal meyakinkan rakyat kerana pelbagai dasar yang dilaksanakan belum sempat menunjukkan hasil, selain sentimen kekalahan dalam tiga PRN berkemungkinan terus mempengaruhi corak pengundian.

Beliau mengibaratkan situasi itu seperti sebuah pasukan bola sepak yang mengalami kekalahan berturut-turut dan memerlukan masa untuk bangkit semula sebelum menghadapi perlawanan seterusnya.

Dalam pada itu, Hassan turut mengkritik pendekatan kempen PH pada PRN Negeri Sembilan yang menurutnya kurang tepat apabila isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji diketengahkan hanya beberapa hari sebelum hari pengundian.

Beliau mendakwa tindakan mendedahkan perkara itu pada saat akhir menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, seolah-olah mempunyai agenda politik tertentu.

Hassan turut mendakwa laporan RCI berkenaan sepatutnya didedahkan lebih awal jika kerajaan benar-benar berhasrat memastikan ketelusan, dan bukannya menunggu sehingga musim pilihan raya.

Menurutnya lagi, pendekatan terlalu berhati-hati kerajaan terhadap rakan dalam gabungan akhirnya tidak memberikan pulangan politik kepada PH, malah mendakwa parti itu tetap mengalami kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri kebelakangan ini.

BBerkaitan

Latest articles