KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah, Mahathir merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 1956, manakala isterinya itu bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 dalam tempoh dua hari lagi.
Walaupun faktor usia dan keadaan kesihatan membataskan pergerakannya, tokoh veteran politik itu masih aktif menghadiri program bersama masyarakat.
Terbaharu, beliau dilihat menyantuni orang ramai di Langkawi pada Ahad lalu meskipun menggunakan kerusi roda.
Awal tahun ini, Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara selepas mengalami patah tulang pinggul akibat terjatuh di kediamannya.
Beliau bagaimanapun memilih menjalani rawatan fisioterapi berbanding pembedahan kerana mengambil kira faktor usia.
Mahathir telah mewarnai arena politik Malaysia selama hampir tujuh dekad, dengan perjalanan politik yang menyaksikannya pernah menjadi sekutu dan juga seteru kepada pelbagai parti utama termasuk UMNO, DAP, PKR dan PAS.
Sebahagian besar karier politiknya dibina bersama UMNO.
Walaupun pernah dipecat daripada parti itu, beliau kembali semula sebelum akhirnya diangkat sebagai Presiden UMNO dan memimpin negara sebagai Perdana Menteri keempat dari 1981 hingga 2003.
Beliau kemudian kembali menerajui pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 apabila Pakatan Harapan berjaya menamatkan pemerintahan Barisan Nasional.
Namun, pentadbiran penggal keduanya berakhir pada Februari 2020 susulan krisis politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Sepanjang lebih dua dekad mentadbir negara, Mahathir mencetuskan pelbagai dasar dan projek pembangunan berskala besar yang meninggalkan kesan mendalam terhadap landskap ekonomi serta infrastruktur negara.
Antaranya termasuk Dasar Pandang ke Timur yang mengukuhkan hubungan pendidikan dan perdagangan dengan Jepun serta Korea Selatan, selain memperkenalkan Proton Saga sebagai kereta nasional pertama Malaysia.
Beliau turut menjadi pencetus kepada pembinaan beberapa mercu tanda ikonik negara seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya yang kini menjadi pusat pentadbiran Persekutuan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Mahathir terus berusaha memperjuangkan agenda penyatuan politik Melayu menerusi beberapa platform politik yang dipimpinnya, termasuk UMNO, Bersatu dan Pejuang.
Bagaimanapun, pada Mei lalu, beliau mengakui usaha berkenaan tidak mencapai matlamat apabila menyatakan dirinya gagal menyatukan orang Melayu.










