SEREMBAN: Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai ibarat kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk tenggelam kerana didakwa tidak dibina atas asas kepercayaan serta kesetiaan politik.
Menurut beliau, persefahaman antara kedua-dua gabungan itu mungkin kelihatan kukuh pada peringkat awal, namun tidak akan bertahan lama apabila berdepan konflik dalaman, pengkhianatan dan perebutan jawatan kepimpinan.
“Saya bandingkan kerjasama mereka seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja. Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu mengulas kerjasama BN dan PN tanpa penyertaan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Menerusi persefahaman tersebut, BN dan PN mengelakkan pertembungan sesama sendiri di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan BN bertanding di 25 kerusi, manakala baki 11 kerusi ditandingi parti-parti komponen PN iaitu PAS, Gerakan, Wawasan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Gabungan itu bakal berdepan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di semua 36 kerusi, selain Bersatu yang meletakkan calon di 24 DUN.
Dalam pada itu, Yeoh mendakwa kerjasama BN-PN tidak mempunyai asas “politik persahabatan” kerana setiap pihak lebih mengutamakan cita-cita sendiri untuk menguasai tampuk pemerintahan negara.
“Masing-masing bercita-cita untuk menjadi perdana menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas. Mereka pun tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya. Yang mahu dijulang hanyalah pucuk masing-masing.
“Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini. Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata PH telah membuktikan kesetiaan dalam kalangan parti komponennya apabila PKR, DAP dan Amanah terus mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Justeru, Yeoh berkata kemenangan PH pada PRN Negeri Sembilan penting bagi mempertahankan nilai kesetiaan dan politik persahabatan yang menjadi teras gabungan itu.
“Ianya yang tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain Pakatan Harapan. Kekalkan Harapan, akan kekallah Kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini. Percayalah,” katanya.










