Hamzah Dijangka Umum Sertai ‘Rumah Baharu’ Mei Ini, Dakwa Disokong Ratusan Ribu Ahli

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka membuat pengumuman berhubung hala tuju politiknya apabila bakal memperkenalkan ‘rumah baharu’ yang akan disertai beliau pada Mei depan, selepas dipecat daripada Bersatu.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu memaklumkan, entiti politik berkenaan dijangka tampil dengan kekuatan signifikan, termasuk sokongan keahlian yang dianggarkan mencecah ratusan ribu orang di seluruh negara.

Menurutnya, bagaimanapun, sebarang perincian lanjut masih belum boleh didedahkan buat masa ini kerana proses rundingan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang berjalan, selain nama rasmi gabungan atau parti tersebut belum dimuktamadkan.

“Perbincangan dengan ROS sedang giat dilakukan bagi memastikan semua prosedur dipatuhi sepenuhnya sebelum pengumuman dibuat. Ini penting bagi mengelakkan sebarang isu teknikal atau perundangan pada masa hadapan,” katanya.

Hamzah turut menjelaskan bahawa proses penyusunan di peringkat akar umbi berjalan lancar apabila lebih 130 bahagian telah menghantar senarai kepimpinan masing-masing, dengan jumlah keseluruhan dijangka meningkat kepada kira-kira 150 bahagian dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tahlil dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Bukit Bertam, Batu Kurau, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ketua Pembangkang mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengulas lanjut mengenai struktur dan hala tuju ‘rumah baharu’ berkenaan, mengambil kira sensitiviti politik semasa serta bagi mengelakkan salah tafsir daripada pelbagai pihak.

BBerkaitan

Latest articles