KUALA LUMPUR: Hasrat UMNO supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal didakwa mempunyai kaitan dengan percaturan untuk memberi peluang kepada PAS mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi, mendakwa perkembangan antara kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini memperlihatkan wujud strategi politik yang sedang disusun menjelang PRU-16.
Beliau berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong PRU16 diadakan lebih awal dilihat seiring dengan pendirian PAS yang sudah mula membuka ruang untuk menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu.
“Kalau PRU16 dipercepatkan, ia boleh memberi kelebihan kepada PAS untuk memanfaatkan sentimen penyatuan ummah dan perpaduan Melayu yang masih kuat dalam kalangan sebahagian masyarakat.
“Dalam keadaan itu, UMNO sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani didakwa akan terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pilihan raya diadakan lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Iman Haziq turut mempersoalkan kemungkinan UMNO sanggup melepaskan peluang untuk menerajui kerajaan Persekutuan sekiranya langkah itu dapat memberi kelebihan kepada parti berkenaan dalam isu lain.
Katanya, PAS berkemungkinan muncul dengan jumlah kerusi lebih besar berbanding UMNO sekiranya berlaku pertandingan pada PRU16, sekali gus meletakkan parti itu pada kedudukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah 112 kerusi.
Beliau pada masa sama menyindir pendirian PAS mengenai isu rasuah susulan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa isu berkenaan sering dijadikan senjata politik untuk memburukkan pihak lawan.
“Tidak mengapa juga untuk UMNO lepaskan kerusi PM kepada PAS asalkan ramai pimpinan UMNO yang sekarang ini sedang turun naik mahkamah kerana didakwa kes rasuah boleh terlepas kerana menurut PAS, rasuah bukan suatu jenayah,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar PAS Pusat mengakui parti itu sudah mempunyai calon bagi jawatan Perdana Menteri untuk PRU-16.
Bagaimanapun, beliau belum bersedia mendedahkan nama calon berkenaan dan menjelaskan keputusan itu hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi setiap parti pada pilihan raya akan datang.
Dalam ucapan sama, Abdul Hadi turut mendakwa usaha membanteras rasuah dilaksanakan secara terpilih oleh kerajaan, selain mendakwa isu berkenaan digunakan bagi menyerang musuh politik.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyatakan PRU16 tidak semestinya perlu menunggu sehingga tamat penggal Parlimen pada hujung tahun depan.
Menurutnya, pilihan raya lebih awal akan membolehkan rakyat memberikan mandat baharu bagi menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara.










