GERIK: Misteri kehilangan enam individu yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan, terjawab apabila kesemua mereka disahkan berada dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, berkata pihaknya berjaya menghubungi malim gunung yang bersama kumpulan berkenaan dan mendapat pengesahan bahawa kesemua pendaki tidak mengalami sebarang masalah.
Menurutnya, pasukan penyelamat kini sedang digerakkan bagi membawa keluar kumpulan terbabit dari lokasi mereka.
“Sudah dapat berhubung dengan malim gunung, semua selamat. Semua pendaki selamat dan kita akan buat proses penyelamatan,” katanya memetik Buletin TV3.
Beliau berkata, operasi membawa keluar keenam-enam individu itu akan dilaksanakan hari ini dengan pasukan penyelamat akan dihantar ke kawasan berkenaan.
Katanya, operasi turut membabitkan penggunaan helikopter bagi membawa pasukan penyelamat ke sebuah kem sebelum mereka meneruskan perjalanan secara darat ke lokasi kumpulan berkenaan.
“Proses penyelamatan akan dilakukan hari ini juga,” katanya.
Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipergiat selepas enam individu berkenaan dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi di kawasan Gunung Gerah.
Pesawat Mi-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Pengkalan Udara Subang turut dijadualkan menjalankan tinjauan udara di sepanjang laluan pendakian bagi membantu operasi SAR.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada empat ahli keluarga, termasuk seorang kanak-kanak, selain dua malim gunung.










