Hakim Cuti Sakit, Hukuman Terhadap Ibu, Rakan Tomboy Yang Dera Anak Ditangguh 1 Nov

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini menangguhkan keputusan penghukuman terhadap seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya yang berperwatakan tomboy yang sebelum ini didakwa mendera kanak-kanak berusia tujuh tahun pada Julai lalu.

Ini kerana Hakim, VM. Mabel Sheela sedang cuti sakit.

Sehubungan itu keputusan akan ditangguhkan pada 1 November depan

Peguam kedua-dua tertuduh, Abd. Rahim Ali memberitahu, perkara itu ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah, hari ini.

“Kes ini ditangguhkan kepada 1 November ini kerana dimaklumkan hakim yang bertugas cuti sakit. Penangguhan ini termasuk bagi fakta kes dan penghukuman.

“Buat masa ini, kedua-dua orang kena tuduh (OKT) itu ditahan di Penjara Simpang Renggam. Saya dimaklumkan juga ibu tunggal tersebut telah mengalami kecederaan retak tulang kaki kanan akibat terjatuh di bilik air.

“Bagaimanapun rawatan telah diberikan kepadanya,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh dibawa ke mahkamah menaiki van pada pukul 8.50 pagi dengan tangan masih bergari.

Pada 27 September lalu, kedua-dua tertuduh menukar pengakuan mereka kepada bersalah di Mahkamah Sesyen itu terhadap dua pertuduhan menganiaya dan mengabai anak kandung ibu tunggal berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-duanya mereka didakwa dengan niat menganiaya mangsa yang berada dalam pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat mengabaikan kanak-kanak itu ketika mangsa berada dalam pemeliharaan mereka.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kediaman beralamat di Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

BBerkaitan

Latest articles