Hadi Nafi PAS-Bersatu ‘Berlakon’ Berpecah Demi Raih Undi PRN Johor

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menepis dakwaan kononnya keretakan hubungan antara PAS dan Bersatu hanyalah strategi politik bagi meningkatkan peluang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, jentera PAS akan terus menjalankan gerak kerja pilihan raya seperti biasa meskipun Bersatu memilih untuk kekal bertanding menggunakan lambang PN.

“Kita tetap dengan simbol. Yang Bersatu saya tidak tahu sama ada itu strategi atau sebaliknya. Mungkin itu strategi mereka sendiri, tetapi insya-Allah orang PAS akan bekerja,” katanya ketika ditemui di Masjid Rusila, Marang, seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau mengulas spekulasi bahawa PAS dan Bersatu hanya berpura-pura berpisah sebelum kembali bekerjasama bagi memperkukuh kedudukan PN dalam PRN.

Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu. Susulan itu, Bersatu menyatakan hasrat untuk menentang PAS habis-habisan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, namun tetap mengekalkan penggunaan logo PN.

Malam tadi, kedua-dua parti mengumumkan calon masing-masing secara berasingan. PAS memperkenalkan 11 calon di Bakri, manakala Bersatu menamakan 16 calon dalam majlis di Pagoh.

Secara keseluruhan, PN dijangka mempertaruhkan 33 calon pada PRN Johor. Selain PAS dan Bersatu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan, mengumumkan lima calon semalam, manakala Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memperkenalkan seorang calon.

Bagaimanapun, masih belum jelas mengapa gabungan itu belum mengumumkan calon bagi baki 23 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Sebelum DUN dibubarkan, Barisan Nasional (BN) menguasai 40 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, PN tiga kerusi dan Muda satu kerusi.

Penamaan calon dijadual berlangsung esok, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai dengan pengundian awal pada 7 Julai.

BBerkaitan

Latest articles