ALOR GAJAH: Tindakan pantas seorang guru berjaya mengelakkan kejadian yang lebih buruk apabila merampas sebilah pisau pemotong daripada seorang pelajar lelaki yang mengejar tiga rakannya di sebuah sekolah menengah, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di dewan sekolah itu, tiga pelajar lelaki dilaporkan bertempiaran melarikan diri selepas dikejar seorang pelajar Tingkatan Satu yang membawa senjata berkenaan.
Menurut sumber, guru terbabit bersama beberapa guru lain segera campur tangan sebaik menyedari kejadian itu sebelum berjaya menenangkan keadaan dan merampas pisau yang dipegang pelajar tersebut.
Katanya, tindakan pantas warga pendidik itu berjaya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, malah tiada pelajar atau guru dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
Difahamkan, pelajar yang membawa pisau itu mempunyai masalah kesihatan mental dan perlu mengambil ubat secara berkala.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Isnin lalu, negara dikejutkan dengan insiden seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera selepas dipercayai ditikam antara 14 hingga 16 kali pada bahagian badan dan muka di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor.
Kejadian itu tular di media sosial apabila rakaman menunjukkan sekumpulan pelajar bertempiaran lari selepas seorang individu yang dipercayai pelajar sekolah berkenaan dilihat membawa sebilah pisau.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.










