Guna Bahasa Kebangsaan Dalam Surat Rasmi, Jika Tidak Akan Dipulangkan – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mahu setiap pihak menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam surat rasmi dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu dan pembinaan bangsa di negara ini.

Ujar Anwar, sekiranya ada yang tidak mengikut dasar ini, maka surat berkenaan akan dipulangkan semula.

Dalam masa yang sama, Anwar memberitahu Bahasa Inggeris tidak akan dipinggirkan kerana terdapat keperluan penggunaan bahasa itu dalam soal hubungan perdagangan antarabangsa.

“Saya ingin peringatkan hal ini dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan supaya arahannya siapa sahaja menulis selain Bahasa Kebangsaan surat itu akan dipulangkan. Ini tidak akan menjadikan kita sempit.

“Saya tidak meremehkan (bahasa Inggeris) tetapi perlu mengakar di bumi berhubung pemerkasaan budaya dari sudut bahasa, sastera sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa.

“Jangan cuba remehkan, arahan jelas bahawa tidak akan melayani sebarang surat yang disampaikan oleh rakyat, syarikat tempatan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia, hari ini.

Anwar turut mengakui wujud juga kekeliruan penggunaan bahasa dalam soal hubungan perdagangan antarabangsa yang lebih menggunakan bahasa Inggeris.

Tetapi, sikap masyarakat yang dilihat terpesong apabila ada beberapa agensi awam dan swasta seringkali cuba meninggalkan asas Perlembagaan dalam menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam perhubungan dengan jabatan kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles