Anwar: Mahu Terus Bersama UMNO-BN, Tetapi Jika Sebaliknya, PH Sedia ‘Bertempur’

JOHOR BAHRU: we Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau lebih cenderung meneruskan kerjasama politik bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi memastikan kestabilan negara, berbanding kembali berdepan suasana persaingan politik yang boleh mengganggu tumpuan terhadap agenda pembangunan rakyat.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, keutamaannya sejak awal adalah mengekalkan kerajaan yang stabil, memperkukuh ekonomi negara serta memberi tumpuan penuh kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya berdepan pilihan raya yang berterusan.

“Saya mahu kerajaan yang tenang. Pilihan saya ialah meneruskan kerjasama, menjaga kebajikan rakyat, menangguhkan pilihan raya dan bekerja keras memulihkan ekonomi. Namun apabila ada pihak yang memilih untuk kembali bertanding dan berpolitik, maka kita tidak mempunyai pilihan selain bersedia menghadapi cabaran itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Johor malam ini.

Walaupun mengakui pilihan raya negeri bukan keutamaan beliau, Anwar menegaskan PKR bersama seluruh komponen PH telah bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sekiranya pertandingan itu diteruskan.

Presiden PKR itu turut mengingatkan bahawa pengalaman lalu di Johor memberikan banyak pengajaran kepada PH, khususnya dalam memahami perubahan corak pemikiran serta sentimen pengundi yang sentiasa berkembang.

Pada masa sama, beliau mempertahankan rekod Kerajaan Perpaduan yang menurutnya berjaya mengekalkan kestabilan politik negara sehingga membolehkan pelbagai dasar ekonomi dan pelaburan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Anwar berkata, pemulihan nilai ringgit serta peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia menjadi bukti bahawa kestabilan politik dan hala tuju ekonomi yang konsisten mampu menghasilkan kesan positif kepada negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai lawatan kerja ke luar negara yang dilaksanakannya bertujuan membuka peluang pelaburan baharu dan memperkukuh kerjasama strategik yang dapat menjana manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Dalam keadaan dunia masih berdepan pelbagai konflik dan ketidaktentuan, tumpuan negara seharusnya diberikan kepada pembangunan ekonomi serta penyelesaian isu rakyat. Itulah keutamaan yang perlu kita pertahankan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles