GPMS Digesa Lakukan Pemilihan Majlis Tertinggi

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menghadapi desakan untuk segera mengadakan pemilihan Majlis Tertinggi seperti yang termaktub dalam perlembagaan organisasi.

Bekas Presiden GPMS ke-22, Jais Abdul Karim, menegaskan bahawa organisasi pendidikan ini perlu menunjukkan kepimpinan yang matang dengan mematuhi arahan pihak berkuasa dan perlembagaan sendiri.

Merujuk kepada arahan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) melalui surat bertarikh 16 Julai dan 15 Ogos 2024, GPMS diminta untuk mengadakan pemilihan sebelum 16 September 2024 katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jais lagi,  kegagalan untuk mengadakan pemilihan dalam tempoh tiga tahun yang ditetapkan boleh memberi impak buruk kepada kelangsungan GPMS.

Sebelum ini, keputusan Majlis Tertinggi GPMS untuk menangguhkan pemilihan tanpa kelulusan telah mencetuskan ketidakpuasan di kalangan ahli, termasuk Naib Pengerusi GPMS Selangor, Daing Muhammad Reduan, yang turut mempertikaikan keputusan tersebut.

Sementara itu, bagi mantan Presiden GPMS ke-25, Alif Anas Md Noor, menyarankan bahawa sebarang keputusan penangguhan harus dibawa ke Persidangan Agung Khas untuk mendapatkan kelulusan sebelum memohon kepada ROY.

Beliau menambah bahawa Majlis Tertinggi tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menangguhkan pemilihan, dan pelanggaran arahan ROY berisiko menyebabkan pendaftaran GPMS digantung atau dibatalkan.

Jais menyeru agar kepimpinan GPMS mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini secara baik, demi masa depan organisasi.

BBerkaitan

Latest articles