‘Gostan’ Atau Mara Ke Depan? Tian Chua Kata Undi Esok Bakal Tentukan Masa Depan Negara

PASIR GUDANG: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan penting yang akan menentukan hala tuju masa depan negara, sambil menegaskan pengundi hanya mempunyai dua pilihan ketika mengundi.

Menurut beliau, rakyat perlu memilih sama ada mahu kembali kepada era lama yang disifatkannya sarat dengan kelemahan atau meneruskan perjalanan ke arah pembaharuan dan kemajuan negara.

​”Di depan mata kita esok, ada dua jalan sahaja, dua pilihan. Undi untuk kembali ke belakang (gostan), iaitu merestui rasuah dan membebaskan orang yang bersalah serta pecah amanah terhadap rakyat, atau kita memilih untuk mara ke depan.

​”Walaupun sekarang kita akui ada banyak kelemahan, tetapi the roll of history cannot be stopped (putaran sejarah tidak boleh dihentikan). Kita harus terus mara ke depan untuk menjayakan impian rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang.

Dalam ucapannya, Tian Chua turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang disifatkannya sebagai pencetus perubahan politik negara sejak lebih dua dekad lalu.

Beliau berkata, keberanian pengundi di negeri itu telah membuka ruang kepada perubahan landskap politik negara yang sebelum ini dianggap mustahil berlaku.

​”Dua puluh tahun lalu apabila kita mula bercakap tentang reformasi, ramai yang tidak yakin dan menganggap mengundi ini tidak ada makna kerana apa pun cara diundi, pihak yang satu lagi (Barisan Nasional) tetap akan menang dua per tiga.

​”Bagaimanapun, kerana sokongan dan keberanian rakyat Johor yang berani melakukan perubahan, kita semua hari ini mempunyai kekuatan untuk terus berjuang. Malah, mustahil untuk negara kita berubah tanpa kebangkitan daripada bangsa Johor,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan kehadiran beliau bersama pimpinan lain sepanjang kempen bukan sekadar untuk memenangkan calon atau mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, sebaliknya bagi mempertahankan maruah negara serta memastikan masa depan generasi akan datang terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles