Generasi Penamat Bakal Realisasi Matlamat Malaysia Negara Bebas Rokok

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang berkaitan rokok dapat dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya lagi strategi Generasi Penamat akan menjadi landasan buat kerajaan untuk mencapai hasrat Malaysia sebuah negara bebas daripada amalan merokok.

Sehubungan itu Keluarga Malaysia diharap dapat membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, memupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.

“Saya percaya bahawa rakyat juga berkongsi harapan yang sama dan transformasi sistem kesihatan negara perlu melibatkan pelbagai aspek termasuk menerapkan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’ iaitu kesihatan adalah tanggungjawab bersama.

“Harapan saya agar sistem kesihatan negara menyokong dan membantu Keluarga Malaysia kekal sihat dan bukan lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi setelah berpenyakit.

“Kedua adalah sistem kesihatan negara mampu memenuhi keperluan rawatan Keluarga Malaysia secara mampan dan berdaya tahan daripada semua cabaran termasuk dalam situasi pandemik global.

“Ketiga pula sistem kesihatan negara menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia kerana merasakan mereka adalah sebahagian daripadanya dan juga menghargai peranannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 atau Health Policy Summit 2022, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 atau Health Policy Summit 2022 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan membincang serta merencana masa hadapan sistem kesihatan negara melalui pembangunan Kertas Putih Kesihatan.

BBerkaitan

Latest articles