Gempa Bumi 3.4 Magnitud Gegar Temenggor, Gegaran Dirasai Sekitar Gerik

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 melanda kawasan Temenggor, Gerik, Perak awal pagi tadi, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan sekitar Gerik.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa itu berlaku pada jam 12.06 tengah malam pada kedalaman 10 kilometer.

Menurut MetMalaysia, pusat gempa dikesan pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur, kira-kira sembilan kilometer di timur laut Hulu Perak.

“Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 berlaku di Temenggor, Gerik, Perak pada jam 12.06 tengah malam tadi.

“Gempa bumi berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan sekitar Gerik,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan harta benda atau kecederaan susulan kejadian berkenaan.

MetMalaysia berkata pihaknya terus memantau perkembangan dan keadaan semasa di kawasan terbabit.

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi MetMalaysia dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Sebarang perkembangan lanjut berkaitan kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

BBerkaitan

Latest articles