Gagal Isytihar Harta RM170j: Peguam Ismail Sabri Sifatkan Pertuduhan ‘Pelik’, Sedia Cabar Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedia mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keabsahan pertuduhan berhubung kegagalan mematuhi notis pengisytiharan harta bernilai anggaran RM170 juta di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Ketua pasukan pembelaan, Datuk Amer Hamzah Arshad menyifatkan keputusan pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu sebagai sesuatu yang pelik dan menimbulkan persoalan.

Menurut beliau, sebelum ini terdapat permohonan pelucuthakan oleh pihak SPRM membabitkan aset berkaitan.

“Mengikut kebiasaan, apabila peruntukan itu digunakan, tiada pendakwaan jenayah akan diteruskan.

“Namun, pihak pendakwaan secara tiba-tiba bertukar fikiran.

“Pihak kami mengutarakan kebimbangan berhubung kewajaran serta keabsahan pertuduhan ini dan tidak teragak-agak memfailkan permohonan di mahkamah bagi mencabarnya kelak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas mengenai prosiding jaminan, Amer Hamzah yang mewakili Ismail Sabri bersama Datuk Seri Rajan dan Ragunath Kesavan memberitahu, pihak pendakwaan pada mulanya mencadangkan wang jaminan RM500,000 serta penyerahan pasport.

Walau bagaimanapun, pihak pembelaan membantah cadangan tersebut kerana menyifatkan jumlah berkenaan terlalu tinggi dan bersifat menghukum.

“Tiada sebarang keperluan untuk tahan pasport anak guam kami kerana beliau memberi kerjasama penuh dan bukannya berisiko untuk melarikan diri,” katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin kemudiannya menetapkan wang jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 29 September depan bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa pada 7 Februari 2025 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kerana sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Beliau didakwa gagal mengisytiharkan aset yang tertera dalam Lampiran A kertas pertuduhan.

Senarai harta tersebut merangkumi wang tunai pelbagai mata wang asing dan tempatan bernilai RM4,772,150.00, EUR12,164,150.00, AED34,750,000.00, CHF3,000,000.00, USD1,461,400.00, JPY363,000,000.00, AUD352,850.00, SGD132,350.00, GBP50,250.00, dan NZD44,600.00.

Turut disenaraikan ialah lima ketul jongkong emas Suisse Fine Gold seberat 5 kilogram, 100 gram jongkong perak Suisse Fine Silver, serta lima gram syiling emas 999 Fine Gold.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan.

Dalam pada itu, Amer Hamzah mengesahkan keadaan kesihatan Ismail Sabri semakin baik namun masih perlu menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum ini, pendakwaan yang dijadualkan pada 7 Ogos lalu ditangguhkan selepas Ismail Sabri dimasukkan ke IJN akibat masalah degupan jantung tidak sekata.

BBerkaitan

Latest articles