JOHOR BAHRU: Pemaju Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, menegaskan komitmennya untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan terhadap dakwaan penglibatan warga Israel dalam sebuah program komuniti yang beroperasi di kawasan pembangunan itu.
Dalam satu kenyataan, syarikat berkenaan memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menyokong pendirian kerajaan bahawa Johor tidak boleh dijadikan lokasi bagi sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang atau menjejaskan kedaulatan negara.
Menurutnya, Forest City bersedia bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh.
Malah, syarikat itu turut menyatakan kesediaan untuk mengemukakan semua dokumen yang diperlukan bagi membantu melancarkan proses siasatan serta mempercepatkan usaha mendapatkan fakta yang tepat dan menyeluruh.
Perkembangan itu menyusul selepas KDN semalam mengesahkan telah membuka siasatan terhadap komuniti Network School, susulan gesaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, agar kerajaan persekutuan menyiasat dakwaan bahawa beberapa warga Israel menyertai program berkenaan dengan menggunakan pasport negara kedua.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kehadiran warga Israel di negara ini dan akan mengusir mereka serta-merta sekiranya didapati berada di Malaysia.
Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf negara Israel.
Untuk rekod, Network School merupakan sebuah komuniti kediaman persendirian yang beroperasi di Forest City sejak 2024.
Program itu diasaskan oleh bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase dan pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.










