LABU: Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil mendakwa Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) mendedahkan dakwaan penyelewengan kewangan serius membabitkan institusi itu.
Beliau mendakwa laporan berkenaan antara lain mendedahkan isu pemalsuan akaun, pembayaran dividen yang didakwa tidak selari dengan peruntukan Akta Tabung Haji serta kerugian keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM12.6 bilion.
Berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka, Fahmi berkata dapatan RCI menunjukkan kedudukan kewangan TH pada 2017 didakwa tidak memenuhi syarat untuk membuat pembayaran dividen kerana nilai aset lebih rendah berbanding liabiliti.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai bagaimana pembayaran dividen masih boleh dibuat ketika kedudukan kewangan TH didakwa berada dalam keadaan tersebut.
“RCI mendapati pada 2017 aset Tabung Haji lebih rendah daripada liabiliti. Mengikut Akta Tabung Haji, dalam keadaan itu dividen tidak sepatutnya dibayar.
“Persoalannya bagaimana dividen boleh dibayar? Laporan ini mendakwa berlaku pemalsuan akaun apabila kerugian direkodkan seolah-olah keuntungan,” katanya.
Fahmi berkata, perkara tersebut menunjukkan teguran yang pernah dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia sebelum ini didakwa tidak diberi perhatian sewajarnya.
Beliau turut mendakwa keputusan pelaburan terdahulu menyebabkan TH berdepan kerugian besar sehingga memerlukan campur tangan kerajaan selepas PH mengambil alih pentadbiran pada 2018.
Katanya, kerajaan ketika itu melaksanakan pelan pemulihan termasuk penyusunan semula aset bernilai kira-kira RM20 bilion bagi menstabilkan kedudukan kewangan TH, selain pengurusan baharu sejak 2023 mengenal pasti tambahan aset bermasalah bernilai RM2.6 bilion.
Menurut Fahmi, pendedahan laporan RCI hanya dibuat selepas mengambil kira permintaan pihak pengurusan TH sebelum ini supaya proses pemulihan diselesaikan terlebih dahulu tanpa menjejaskan keyakinan pendeposit.
Beliau menggesa masyarakat, khususnya umat Islam, membaca sendiri laporan berkenaan bagi memahami isu yang dibangkitkan terhadap institusi penting itu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia meneliti laporan RCI bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang.
Katanya, mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan kerugian besar kepada TH perlu berdepan tindakan undang-undang.
“Sesiapa yang didapati bertanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian besar kepada Tabung Haji mesti dibawa ke muka pengadilan. Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak,” katanya.
Fahmi turut mendakwa langkah pemulihan yang dilaksanakan kerajaan berjaya memperkukuh semula kedudukan kewangan TH sehingga membolehkan institusi itu mencatatkan agihan keuntungan 3.15 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti proses penstrukturan dan penambahbaikan tadbir urus TH selepas kemelut kewangan yang didakwa berlaku sebelum ini.










