PUTRAJAYA: Facebook dilabel sebagai platform media sosial yang paling banyak menyumbang kepada penyebaran kandungan perjudian dalam talian dan penipuan atau scam yang menyasarkan rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan kandungan yang dimohon kerajaan untuk diturunkan, Facebook menyumbang 78 peratus kandungan perjudian dalam talian dan 53 peratus kandungan scam yang dikenal pasti.
Beliau berkata, angka itu jauh mengatasi platform lain, sekali gus menunjukkan keperluan lebih tegas daripada penyedia platform dalam membendung kandungan yang memudaratkan pengguna tempatan.
“Kalau hendak kata platform mana yang paling banyak ‘buat dosa’ kepada rakyat Malaysia, untuk judi dalam talian, Facebook adalah yang paling banyak.
“Untuk scam juga, Facebook paling tinggi dengan 53 peratus,” katanya menurut laporan Berita Harian di sini.
Berdasarkan statistik kandungan perjudian dalam talian yang dimohon untuk diturunkan, Facebook mencatatkan 78 peratus, diikuti YouTube dengan 18 peratus dan TikTok sebanyak empat peratus.
Bagi kandungan scam pula, Facebook sekali lagi berada di tempat teratas dengan 53 peratus, manakala TikTok menyumbang 39 peratus dan Threads lima peratus.
Fahmi berkata, jumlah keseluruhan kandungan yang dimohon untuk diturunkan kerajaan bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Ogos tahun ini mencecah 470,593 kandungan.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 436,661 kandungan atau 93 peratus dipersetujui oleh platform terbabit untuk diturunkan.
Lebih membimbangkan, kandungan perjudian membentuk bahagian terbesar dengan 64 peratus, manakala kandungan berkaitan penipuan pula menyumbang 27 peratus daripada keseluruhan permohonan berkenaan.
Menurut Fahmi, angka itu membuktikan bahawa isu kandungan berbahaya di media sosial bukan lagi perkara terpencil, sebaliknya memerlukan tindakan pantas dan konsisten daripada setiap platform.
Beliau menegaskan, penyedia platform tidak seharusnya hanya menunggu laporan atau permohonan daripada kerajaan sebelum mengambil tindakan terhadap kandungan yang jelas melanggar garis panduan dan syarat penggunaan.
“Setiap platform perlu bertindak secara proaktif untuk mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan memudaratkan yang jelas melanggar garis panduan serta terma penggunaan mereka.
“Kelewatan inilah yang memberi ruang kepada kandungan memudaratkan untuk terus tersebar dan meningkatkan risiko kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.
Fahmi berkata, tindakan pantas platform amat penting memandangkan kandungan perjudian dan scam boleh tersebar kepada pengguna dalam tempoh singkat, sekali gus meningkatkan risiko rakyat menjadi mangsa.
Kerajaan, katanya, akan terus memberi tekanan kepada platform terbabit supaya tanggungjawab membanteras kandungan berbahaya dilaksanakan secara lebih berkesan, bukannya sekadar selepas kandungan berkenaan menjadi tular atau menerima aduan.










