Enam Pelajar Terlibat Kes Buli Digantung Serta-Merta, Mungkin Diberhentikan

PADANG TERAP: Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) mengenakan hukuman gantung persekolahan serta-merta selama dua minggu terjadap enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan JDM turut mencadangkan pelajar terbabit ditamat pengajian mereka di institusi itu.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan.

“Dalam laporan yang disediakan, 6 pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan, manakala 4 pelajar yang berada di lokasi kejadian telah didapati bersubahat dan membuat provokasi, pelajar-pelajar ini berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, hari ini.

Mahdzir menjelaskan bahawa MARA mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan siasatan luaran.

Malah tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.

“Malang bagi Maktab Rendah Sains MARA yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.

“Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles