BENTONG: Empat sekeluarga, termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun, maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler yang terbalik di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Karak, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55; Rozita Buang, 58; Norbahyah A Halim, 26; dan Nayla Afya Aizat, setahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pemandu treler berusia 40 tahun mengalami kecederaan.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat yang tiba pada jam 5.15 petang bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam sebuah kereta Honda City menggunakan peralatan menyelamat khas,” katanya.
Beliau berkata, keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kemalangan masih dalam siasatan.










