Elak Musim Tengkujuh, Ramadan Punca DUN Johor Bubar 1 Jun

ISKANDAR PUTERI: Faktor risiko bencana banjir akibat musim tengkujuh serta pertindihan dengan bulan Ramadan dan Syawal menjadi alasan utama pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu.

​Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan, keputusan membubarkan DUN lebih awal, berbanding menanti tempoh matang pada April tahun depan, dibuat demi mengutamakan kebajikan rakyat negeri itu.

​Beliau menjelaskan, sekiranya pilihan raya ditangguhkan sehingga awal tahun depan, negeri selatan tanah air itu bakal berdepan ramalan cuaca buruk selain kekangan masa persediaan ibadah umat Islam.

​”Ramai yang tanya saya kenapa Johor bubar pada 1 Jun tahun ini sedangkan kita mempunyai masa sampai April tahun depan?

“Hakikatnya, bulan November, Disember, dan Januari pula adalah musim tengkujuh yang berisiko berlakunya bencana banjir.

​”Orang Johor tahu perkara ini. Kita tidak mahu mengadakan pilihan raya ketika rakyat sedang berdepan bencana. Ditambah pula pada Mac dan April tahun depan kita sudah mula berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.

​Mengulas lanjut, Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai pemimpin Persekutuan terawal yang sentiasa turun padang membantu setiap kali Johor dilanda musibah.

​Selain faktor domestik, beliau menegaskan ketidakstabilan geopolitik global termasuk ketegangan di Timur Tengah yang menjejaskan laluan Selat Hormuz menuntut Johor untuk segera memiliki sebuah pentadbiran yang utuh.

​”Dalam kita berdepan suasana global yang tidak stabil, Johor perlu memastikan kita mempunyai sebuah kerajaan yang stabil dan kuat bagi membolehkan negeri ini terus maju ke hadapan.

​”In a world that is divided, Johorians must stand united (Dalam dunia yang berpecah-belah, bangsa Johor mesti bersatu),” katanya.

​Dalam pada itu, selaku pengarah operasi bagi PRN kali ini, Onn Hafiz menyasarkan jentera BN untuk mengekalkan momentum kemenangan lalu yang menyaksikan parti itu menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, malah meletakkan sasaran menang dengan majoriti yang lebih membanggakan.

​Majlis pelancaran jentera yang menyaksikan stadium bertukar menjadi ‘lautan biru’ itu turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti komponen termasuk Pengerusi MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Pengerusi MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran; dan Pengerusi PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

​Kehangatan suhu politik di Johor kian terasa apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) Johor terlebih dahulu menggerakkan jentera pilihan raya mereka dalam satu majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Pahat, malam semalam.

BBerkaitan

Latest articles