AYER KEROH: PKR perlu memberi tumpuan khusus kepada tekanan ekonomi harian dan isu kos sara hidup yang dirasai rakyat, bukannya sekadar bergantung kepada kehebatan angka makroekonomi semata-mata.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian kukuh seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran, hasil kerajaan serta aliran masuk pelaburan hanya menggambarkan keadaan ekonomi secara keseluruhan, namun belum tentu dirasai masyarakat awam.
Menurut beliau, masyarakat lebih mengambil berat isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka termasuk kadar gaji, harga barangan, dan RON95.
“Pencapaian kita tidak kurang dalam soal ekonomi periuk. Tetapi perkara yang dekat dengan rakyat adalah ekonomi perut. Sebelum sampai ke hati, ia perlu melalui perut terlebih dahulu.
“Segala bahan yang baik dan kejayaan kerajaan hari ini masih belum sepenuhnya sampai ke perut dan belum masuk ke hati rakyat. Isu gaji dan kos sara hidup perlu diberikan perhatian utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Ahad.
Fahmi turut mengambil contoh keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini yang menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 25 kerusi, sebagai bukti bahawa prestasi pentadbiran sahaja tidak semestinya menjamin sokongan pengundi.
Jelas beliau, situasi di Negeri Sembilan membuktikan wujudnya keadaan di mana sentimen dan emosi rakyat mampu mengatasi pencapaian prestasi kerajaan.
“Jelas sekali, untuk menangani politik ketakutan dan permainan emosi, kita perlu memberi perhatian kepada isu yang benar-benar dekat di hati rakyat,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu jentera penerangan PKR akan mengubah strategi dengan memperkukuh ceramah kelompok berskala kecil secara kerap bagi memastikan setiap dasar serta kejayaan kerajaan dapat difahami dengan tepat oleh akar umbi.










