KUALA LUMPUR: Pendakwah agama, Ebit Lew membuat laporan polis ke atas dakwaan fitnah yang disifatkannya sebagai melampau dan tidak berasas.
Menerusi satu hantaran di laman sosialnya, Ebit memaklumkan laporan polis itu dibuat sejurus beliau tiba ke Malaysia dari Jeddah, Arab Saudi.
“Baru sampai dari Jeddah 12 tengah malam tadi terus ke balai polis buat report mengenai fitnah-fitnah yang teramat melampau dan langsung tidak berasas ke atas diri saya.
“Saya serahkan pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan. Saya juga telah menyerahkan kepada pihak peguam saya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ringkas di media sosial.
Baru-baru ini, Ebit dihimpit kontroversi apabila seorang wanita warganegara Indonesia yang pernah dibantunya sebelum ini mendakwa dirinya telah dicabul oleh pendakwah tersebut.
Dakwaan itu dibuat dalam temuramah bersama dengan penyanyi rap Caprice dalam podcast yang disiarkan di YouTube.
Wanita itu yang dikenali sebagai Mondy Tattoo mendakwa tangan dan pipinya telah diusap-usap, selain mendakwa dirinya disuruh untuk berlakon sedang solat dan membaca al-Quran.
Sementara itu Ebit ketika ini berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.