KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai UMNO mungkin merupakan refleksi kepada realiti sebenar parti bunga berkenaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan lompat parti itu perlu ditanya kepada empunya tuan kerana mereka mempunyai jawapan atas tindakan dan keputusan masing-masing.
“Memang media ada menyebut beberapa ADUN parti bunga (Bersatu) di Johor mahu keluar parti dan menyertai semula UMNO.
“Kesahihan berhubung perkara itu pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan, namun jikalah benar ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata.
“Kerana parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan UMNO, sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Melihatkan kepada perkembangan semasa yang berlaku di dalam Bersatu, Ahmad Zahid berkata rakyat kini boleh menilai sikap pemimpin dan pentadbiran parti itu dengan UMNO, antara sesuatu yang tulen dan tiruan, autentik dan rekaan kerana pastinya yang originaladalah berkualiti berbanding ciplak.
Sedangkan asas perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara telah begitu lama disemat dalam parti itu kerana perjuangannya adalah asli, bukan retorik atau agitasi politik semata-mata.
Malah UMNO bukan juga baru terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki dan sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru.
“Kesimpulannya, UMNO sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur, mementingkan rakyat dan negara dalam perjalanan politiknya.
“Parti politik yang cuba menyamai UMNO untuk memperdaya sokongan pengundi hanyalah bayangan semata-mata, tidak “real” dan palsu,” katanya.