Diterima Kembali Ke UMNO, KJ Ikrar Khidmat Tanpa Syarat

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tempoh beliau berada di luar parti sebagai fasa penting untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.

Beliau meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk kembali menyertai UMNO, sambil mengakui amanah besar yang kini perlu dipikul susulan keputusan tersebut.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Khairy menegaskan kepulangannya bukan disertai sebarang tuntutan, sebaliknya berlandaskan tekad untuk menyumbang ke arah memperkukuh parti.

“Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan UMNO.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti,” katanya.

Khairy turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua lapisan kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Menurutnya, keputusan itu diharap menjadi titik permulaan baharu buat parti untuk melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atas kebijaksanaan dan pertimbangan dalam menerima semula permohonannya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO bersetuju menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang sebelum ini digantung, dipecat atau keluar parti atas pelbagai faktor.

Selain Khairy, beberapa tokoh lain termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Syed Hamid Albar bersama ribuan bekas pimpinan serta ahli di peringkat bahagian dan cawangan turut kembali menyertai parti tersebut.

BBerkaitan

Latest articles