Dewan di-Raja Tuntut Tindakan Segera Pihak Biadap Sunting Gambar Sultan Selangor

SHAH ALAM: Tindakan biadab menyunting dan menyebarkan imej menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah disifatkan biadap, demikian tegas Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor sambil menggesa siasatan segera dijalankan terhadap pelaku.

Ahli Dewan di-Raja Selangor, DatukSalehuddin Saidin menegaskan pihaknya mengecam sekeras-kerasnya hantaran jelik tersebut yang dikatakan mengaitkan baginda dengan isu penternakan babi di negeri ini.

Menurut beliau, perbuatan itu bukan sahaja melampau dan tidak bertanggungjawab, malah jelas mencemarkan maruah Sultan Selangor serta mencabar kedaulatan institusi diraja yang dilindungi undang-undang negara.

“Ini satu tindakan jahat yang tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar penghinaan peribadi, tetapi turut menggugat kedudukan institusi diraja serta melanggar prinsip Rukun Negara,” katanya.

Tambah beliau, kandungan berunsur provokasi itu berpotensi mencetuskan ketegangan awam selain menimbulkan rasa marah, resah dan tidak senang dalam kalangan rakyat Selangor yang selama ini menjunjung tinggi institusi beraja.

Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan segera di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Salehuddin turut menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil dan pelaku mesti diheret ke muka pengadilan agar menerima hukuman setimpal.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan turut dihadiri beberapa Ahli Dewan di-Raja Selangor lain termasuk Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Haris Kasim, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Datuk Mohammed Khusrin Munawi serta Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Datin Paduka Hanafisah Jais.

Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor berkata pihaknya sentiasa memandang serius sebarang isu melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja.

Beliau turut menggesa Kementerian Komunikasi memainkan peranan lebih proaktif dalam mendidik pengguna media sosial supaya lebih beretika dan bertanggungjawab, selain memperkukuh kesedaran mengenai penggunaan platform digital secara berhemah.

“Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan perlu ditolak sepenuhnya. Rakyat harus terus memelihara hubungan antara kaum demi kestabilan negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles