PORT DICKSON – Dataran Astronomi di Hutan Simpan Sungai Menyala atau dikenali sebagai PD Forest berpotensi dibangunkan sebagai produk astropelancongan baharu yang menggabungkan aktiviti cerapan astronomi, pendidikan, penyelidikan dan penghargaan terhadap alam sekitar.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh berkata, program cerapan bintang di kawasan berkenaan memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri keindahan gugusan objek di langit, selain menghargai keajaiban ciptaan Tuhan.
Menurut beliau, program itu turut mengetengahkan usaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Perhutanan dalam menggalakkan masyarakat menghargai dan memelihara khazanah alam semula jadi.
“Alhamdulillah, pada hari ini kita berpeluang menjalankan aktiviti cerapan dan melihat sendiri gugusan objek di langit.
“Pada masa sama, kita mahu menghargai usaha pihak NRES dan Jabatan Perhutanan yang menggalakkan rakyat menghargai alam, di samping meneroka serta merasai keajaiban ciptaan Tuhan,” katanya.
Syed Ibrahim berkata, kawasan itu mempunyai potensi yang sangat besar untuk menerima kehadiran lebih banyak kumpulan dan pengunjung pada masa akan datang.
Beliau yang pernah mengunjungi kawasan tersebut dua minggu sebelum program berkenaan berkata, potensi itu dapat dilihat menerusi penyertaan peserta ekspedisi saintifik, wakil pelbagai agensi, Majlis Perbandaran Port Dickson, NRES dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.
“Pada masa ini, mungkin hanya sebahagian kecil masyarakat yang mengetahui tentang tempat ini. Jika kawasan ini diperkenalkan dengan lebih meluas, saya percaya lebih ramai orang akan berminat untuk datang,” katanya ketika ditemui ketika mengikuti aktiviti cerapan astronomi di Dataran Astronomi, PD Forest @Sungai Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan disini malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah menyifatkan kewujudan Dataran Astronomi itu sebagai satu penemuan baharu yang berpotensi dikembangkan menjadi tarikan pelancongan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan serta agensi berkaitan untuk memperkenalkan kawasan tersebut kepada masyarakat umum.
“Hari ini merupakan satu detik bersejarah bagi saya kerana dapat mengetahui tentang kemudahan baharu ini. Apabila kita menemukan sesuatu yang baharu dan berpotensi, sudah semestinya kita perlu mengembangkannya serta memperkenalkannya kepada masyarakat.
“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa ini akan menjadi titik permulaan kepada produk pelancongan baharu yang dikenali sebagai astropelancongan,” katanya.
Razali berkata, Dataran Astronomi yang diselenggara oleh Jabatan Perhutanan itu dipercayai antara kemudahan seumpamanya yang julung kali diwujudkan di Malaysia.
Menurutnya, ramai dalam kalangan masyarakat meminati bidang astronomi, namun tidak mempunyai peluang atau kemudahan yang sesuai untuk menyertai aktiviti cerapan.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil maklum mengenai kewujudan jam matahari di kawasan berkenaan yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, saya akan mengambil tindakan selanjutnya untuk memperkenalkan tarikan ini kepada masyarakat.
“Kita juga akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk meningkatkan lagi potensi kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, YBrs. Ts. Mohd Yussainy Md Yusop berkata, Hutan Simpan Sungai Menyala atau PD Forest merupakan kawasan terkawal yang pada asalnya dikhususkan untuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan melihat aktiviti cerapan astronomi sebagai titik permulaan untuk membuka ruang kepada masyarakat menikmati pengalaman berkenaan di dalam kawasan hutan simpan.
“Kita akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh EXCO Pelancongan untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan. Langkah ini bertujuan melancarkan pelaksanaan aktiviti serta memudahkan akses masyarakat.
“Ia termasuk urusan mendapatkan permit dan menyediakan pakej yang bersesuaian berdasarkan kalendar falak,” katanya.
Mohd Yussainy berkata, walaupun Hutan Simpan Sungai Menyala merupakan kawasan tertutup, orang ramai masih boleh diberikan kebenaran masuk selepas mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan.
“Jabatan akan membantu memudahkan urusan permohonan bagi membolehkan aktiviti yang bersesuaian dilaksanakan di dalam kawasan hutan simpan ini,” katanya.
Menurut beliau, program cerapan pada 13 Ogos itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 200 orang, termasuk wakil agensi, penyelidik dari dalam dan luar negara serta kru pelaksana.
Program tersebut turut mendapat sokongan Timbalan Menteri NRES serta dua anggota EXCO Kerajaan Negeri, masing-masing yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelancongan dan luar bandar.










