DAP Serah Kepada 4,200 Perwakilan Buat Keputusan ‘Sukar’

KUALA LUMPUR: DAP menyerahkan kepada lebih 4,200 perwakilan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 untuk menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kabinet sehingga tamat penggal Kerajaan Perpaduan atau beralih peranan sebagai backbencher.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata keputusan itu dibuat selepas parti berdepan pelbagai cabaran, kritikan dan bantahan sepanjang berada dalam kerajaan.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada pentadbiran, DAP perlu bersedia menanggung bersama segala kekangan, kelemahan serta keputusan tidak popular yang dibuat kerajaan.

“Apabila kita berada dalam kerajaan, ada kekangan dan kelemahan yang perlu kita tanggung secara bersama. Apa-apa keputusan kerajaan yang tidak popular, sebagai parti dalam kerajaan, kita perlu tanggung bersama,” katanya ketika berucap pada persidangan berkenaan hari ini.

Loke berkata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebelum ini memutuskan untuk memberikan kuasa kepada perwakilan bagi menentukan hala tuju parti dalam kerajaan.

Katanya, terdapat dua pilihan yang perlu dipertimbangkan, iaitu DAP terus berada dalam Jemaah Menteri untuk melaksanakan agenda perubahan dan reformasi, atau memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak dari bangku pembangkang kerajaan (backbencher).

“Jika perwakilan mahu DAP terus kekal dalam Jemaah Menteri, pimpinan parti akan terus cuba membawa perubahan dan reformasi yang dijanjikan.

“Jika tidak, kita akan memainkan peranan sebagai pressure group dalam kerajaan, iaitu kembali kepada backbencher,” katanya.

Beliau menegaskan, tanpa mengira keputusan perwakilan, DAP akan terus memperjuangkan agenda perubahan menerusi kapasiti yang ada.

Loke turut mengingatkan perwakilan bahawa keputusan berkenaan bukan sekadar menentukan kedudukan pimpinan dalam Kabinet, sebaliknya membabitkan hala tuju parti secara keseluruhan.

Antara pemimpin DAP yang hadir pada persidangan itu ialah Penasihatnya, Lim Guan Eng; Pengerusi Kebangsaan, Gobind Singh Deo dan pemimpin veteran, Lim Kit Siang.

Keputusan menyerahkan penentuan kepada perwakilan dibuat susulan kekalahan teruk DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles