DAP-PH Balas Jasa BN Di DUN Pelangai

KUALA LUMPUR: Setelah Pakatan Harapan (PH) menang di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram Sabtu lalu, kini tiba masanya untuk ia membalas jasa sokongan Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, 7 Oktober depan.

DAP memberi jaminan untuk menggerakkan jenteranya bagi membantu UMNO dan BN untuk mempertahankan kerusi berkenaan, demikian menurut Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.

“Kita lihat memang ada kesungguhan mereka dan jentera UMNO Johor untuk memenangkan calon PH.

“Itu adalah satu formula kejayaan dan sudah tentu bila sampai kepada DUN Pelangai, giliran PH pula berkempen untuk menangkan calon BN.

“Kebetulan DUN Pelangai itu di bawah Parlimen Bentong, dimana wakil daripada DAP, Yong Syefura (Rara).

“Sudah tentu DAP juga akan menggerakkan jentera kita untuk menumpukan perhatian di DUN Pelangai khususnya di beberapa PDM yang kita ada sokongan dan pengaruh yang besar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan DAP 2023 di Hotel Marriot, Putrajaya, semalam.

Sabtu lalu, PH berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya, Suhaizan Kayat disahkan menang dengan majoriti lebih 18,000 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pengurusn Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus, Sabtu lalu.

Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor meraih 48,283 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar, dengan 29,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi pula hanya mendapat 528 undi.

Tambah Loke, kemenangan PH itu menjadi pembakar semangat dan membuktikan Kerajaan Perpaduan mendapat keyakinan daripada rakyat untuk terus mentadbir negara.

“Sudah tentu ini akan terus kita bawa semangat ini ke PRK DUN Pelangai nanti. Dalam PRK ini, kita lihat jelas jentera UMNO-BN memberikan sokongan penuh kepada jentera PH di Pulai dan Simpang Jeram.

“Mereka memang bertungkus lumus berkempen bersungguh-sungguh yang diketuai oleh Datuk Seri Khalid Norden dan juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz

“DUN Pelangi memang merupakan kubu kuat UMNO selama ini, merupakan kerusi bekas Menteri Besar dahulu dan UMNO menang selesa pada PRU15 lalu.

“Kita yakin semangat kerjasama, usahasama dan sokongan daripada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, kemenangan akan berterusan di DUN Pelangai,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles