DAP Kekal Setia Bersama Anwar, Kongres Hanya Nilai Peranan Dalam Kerajaan

KUALA LUMPUR: DAP menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan meskipun parti itu bakal menilai kedudukan pemimpinnya dalam pentadbiran pada Kongres Kebangsaan, bulan depan.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, kongres yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos itu bukan bertujuan menentukan sama ada parti berkenaan akan keluar daripada kerajaan, sebaliknya sebagai platform menilai semula peranan pemimpin DAP susulan prestasi mengecewakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, kekalahan DAP di semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk enam kerusi kepada Warisan, tidak boleh dipandang ringan dan perlu dijadikan pengajaran bagi merangka hala tuju baharu parti.

“Sebagai parti politik, kelangsungan kita bergantung kepada sokongan rakyat. Jika pengundi menolak kita, maka kita hilang keabsahan dan nilai dalam politik.

“Apabila keputusan seperti di Sabah berlaku, sudah tentu kita perlu membuat penilaian dan memberikan respons. Tetapi itu bukan bermaksud kita keluar daripada kerajaan atau meninggalkan perdana menteri,” katanya dalam audio siar Tiger Show terbitan Astro Awani.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan turut mengulangi pendirian bahawa Ahli Parlimen DAP akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tanpa mengira apa juga keputusan yang dicapai dalam kongres parti.

Beliau menegaskan DAP tidak akan menarik balik sokongan terhadap kerajaan mahupun terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan pentadbiran sedia ada.

Dalam pada itu, Loke mengakui penyertaan DAP dalam kerajaan menuntut pendekatan berbeza berbanding ketika menjadi pembangkang, sekali gus menyebabkan parti itu sering dikritik kerana dilihat kurang lantang menyuarakan pendirian.

Bagaimanapun, katanya, DAP tetap membawa pelbagai isu penting ke perhatian Jemaah Menteri melalui saluran Kabinet walaupun perbahasan itu tidak dipaparkan kepada umum kerana mesyuarat Kabinet berlangsung secara tertutup.

Menurut beliau, menjadi sebahagian daripada kerajaan memerlukan setiap parti mempertahankan kestabilan pentadbiran serta mencari kaedah terbaik untuk meraih semula keyakinan rakyat, bukannya sekadar mengkritik secara terbuka.

“Kalau hanya mahu terus mengkritik dan bersuara lantang di luar, maka jalan yang ada ialah berundur daripada kerajaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles