KUALA LUMPUR: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini akan ‘dibalas’ dengan pemansuhan tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Itu janji yang diberikan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng terhadap penyokong PH ketika berucap di majlis makan malam kempen sebelum PRU15 di Jelapang, Perak, semalam.
Menurut Lim, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18% semasa ia memerintah selama 22 bulan.
Memetik China Press, bekas menteri kewangan itu berkata, PH “boleh memansuhkan tol” di lebuh raya jika ia mendapat masa lima tahun lagi menjadi kerajaan.
Lim sebelum ini dipetik berjanji perkara yang sama pada 2017, sebelum kemenangan bersejarah PH pada 9 Mei 2018.
Pemansuhan tol di lebuh raya adalah antara janji gabungan itu untuk PRU 2018, dengan PH berkata, ia akan dilakukan “secara berperingkat”.
Pada 2020, kerajaan PH ketika itu melaksanakan pengurangan tol sebanyak 18% di lebuh raya itu, menyatakan ia selaras dengan manifestonya.