KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM), menerusi hantaran di laman Facebook rasmi JPM menafikan satu kenyataan tular mengatakan bahawa kerajaan akan memberi pengiktirafan serta kelulusan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).
Jelas JPM, dakwaan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kelulusan itu menerusi satu akaun media sosialnya adalah palsu.
Menurut kenyataan itu, akaun yang menyatakan kandungan sedemikian dan dicipta menyerupai akaun media sosial Anwar adalah palsu.
“JPM ingin merujuk kepada posting (hantaran) yang tular di media sosial khususnya di Twitter bertajuk ‘pengiktirafan UEC akan dibincangkan di peringkat kementerian dan usul ini akan diluluskan kelak oleh Kerajaan Perpaduan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan’.
“Maklumat melalui akaun media sosial itu adalah palsu. Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” katanya.
Sebelum in, Dong Zong dalam satu kenyataan memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.
Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.