“Cukup-cukuplah, Sekarang Masa Untuk Bekerja”

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdulah Rayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah bertitah setiap pemimpin perlu berhenti berpolitik dan memberi tumpuan khidmat untuk rakyat.

“Cukup-cukuplah. Pilihan raya telah tamat dan kerajaan negeri telah dibentuk. Sekarang, masa untuk bekerja.”

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar, hari ini.

Memandangkan ini kali pertama dalam sejarah di mana tiada parti yang mendapat majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan di negeri, maka baginda bertitah, kerajaan negeri yang dibentuk mestilah terdiri daripada gabungan parti–parti yang telah menang baru-baru ini.

“Seri Paduka ayahanda saya telah memberikan tempoh masa dan ruang kepada pimpinan parti untuk mengadakan perbincangan dan mencari titik persamaan supaya kerajaan negeri dapat dibentuk.

“Justeru, saya telah menerima mengadap pimpinan parti pada hari semalam bagi mendengar sendiri pendirian dan persetujuan mereka.

“Dan, kedua-dua parti daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan,” titah baginda.

Susulan istiadat angkat sumpah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar, baginda turut mengingatkan kerajaan yang baharu dibentuk untuk mengenepikan ideologi dan sentimen politik.

“Dalam proses mencapai negeri maju, rakyat tidak mahu lagi melihat tuan-tuan dan puan-puan terus berpolitik mencari salah sana dan sini.

“Sebaliknya, rakyat mahu wakil rakyat yang duduk di kerusi kerajaan untuk membawa perubahan dan membawa Pahang terus maju ke hadapan,” titah baginda.

Baginda juga mahu wakil rakyat rajin bekerja dan sentiasa turun ke kawasan dan kampung untuk menjaga kebajikan rakyat.

Selain itu, baginda mengingatkan wakil rakyat yang berada di sebelah pembangkang untuk berperanan sebagai pihak semak dan imbang secara profesional dan matang.

“Betulkan niat. Jangan menjadi wakil rakyat untuk mencipta kekayaan diri untuk rasa dihormati. Sedangkan amanah yang diberi langsung dikhianati,” pesan baginda lagi.

Baginda juga mengingatkan semua pihak bahawa isu bangsa dan agama tidak patut dipolitikkan, apatah lagi di negara yang mempunyai berbilang kaum dan agama.

“Kepada kerajaan yang baru dibentuk, ingat pesan saya ini. Ketepikan ideologi dan sentimen politik. Letakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Kini bukan lagi masa untuk berpolitik. Cukup-cukuplah,” titah baginda.

Wan Rosdy selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang yang ke-15 di Istana Sultan Abu Bakar di sini tepat pukul 11.25 pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang menerima watikah pelantikan daripada Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Abu Bakar di Pekan.

BBerkaitan

Latest articles