Chegubard Hilang Kelayakan Tanding PRN N. Sembilan Selepas Didenda RM5,000

SEREMBAN: Hasrat aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terkubur selepas Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadapnya atas kesalahan menerbitkan penerbitan berunsur hasutan.

Hukuman itu sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan kerana jumlah denda yang dikenakan melebihi had ditetapkan undang-undang.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pihak pembelaan menerima dan menghormati keputusan mahkamah walaupun sebelum ini memohon supaya jumlah denda tidak melebihi RM2,000 bagi mengelakkan anak guamnya hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya.

Menurut beliau, mahkamah turut mengambil kira permohonan agar Chegubard tidak dikenakan hukuman penjara, yang akhirnya tidak diperintahkan.

“Kami telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa Chegubard diberi amanah oleh Parti Wawasan Negara (WAWASAN), parti yang baharu menyertai Perikatan Nasional (PN), untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai.

“Bagaimanapun, susulan denda RM5,000 yang dikenakan, beliau tidak lagi layak bertanding. Kami menghormati keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Beliau berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat kerana percaya terdapat asas kukuh untuk mencabar keputusan berkenaan.

Terdahulu, Hakim Rasidah Roslee mensabitkan Chegubard, 48, bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan beliau dipenjara selama 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda RM5,000 yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan satu penerbitan berunsur hasutan melalui media sosial pada kira-kira jam 6.30 petang, 26 April lalu.

Hantaran itu didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 pada 18 Julai, manakala pengundian akan berlangsung pada 1 Ogos depan.

BBerkaitan

Latest articles