Bekas CEO UBB Investment Bank Didakwa Tipu, Dorong Pelepasan RM139.89 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif UBB Investment Bank Limited, Razlan Raghazli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu Ketua Pegawai Eksekutif UBB Amanah Berhad berhubung jadual pembayaran sehingga mendorong pelepasan RM139.89 juta kepada ELMU Higher Education Sdn Bhd.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadap Razlan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Razlan yang ketika itu bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif UBB Investment Bank Limited didakwa menipu Aida Aizira Othman yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UBB Amanah Berhad.

Dia didakwa memperdayakan Aida Aizira untuk mempercayai bahawa jadual pembayaran yang dinyatakan dalam surat UBB Investment Bank Limited bertarikh 18 September 2025 serta dokumen Advice on Islamic Property Financing Under Bai-Bithamin Ajil (BBA) bertarikh sama yang ditandatanganinya adalah selaras dan berdasarkan nasihat peguam cara Tetuan Kassim Yadin, Wai & Co.

Bagaimanapun, mengikut pertuduhan, Razlan didakwa mengetahui bahawa jadual pembayaran berkenaan sebenarnya bercanggah dengan nasihat yang diberikan oleh firma guaman tersebut.

Pendakwaan mendakwa perbuatan itu secara tidak jujur telah mendorong Aida Aizira untuk melepaskan pembayaran berjumlah RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn Bhd, yang mana beliau tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada September 2025 di UBB Investment Bank Limited, B-G-08, Galeria Hartamas, No. 21 Jalan 26/70A, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan manakala tertuduh diwakili peguam Azamudin Abd Aziz.

Ketika prosiding jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Pendakwaan turut memohon beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai serta dilarang berkomunikasi atau berjumpa dengan saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM60,000, dengan mengambil kira tertuduh yang kini digantung tugas selain mempunyai tanggungjawab menjaga ibunya yang sudah berusia.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azura membenarkan Razlan diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan supaya pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tertuduh tidak berkomunikasi atau berjumpa dengan saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Oktober bagi penyerahan dokumen berkaitan kes.

Dalam prosiding sama, peguam pemerhati bagi pihak UBB Investment Bank, Johan Mohan Abdullah memohon supaya nama bank berkenaan tidak dikaitkan dalam laporan mengenai kes itu kerana bimbang ia boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan pelabur.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles