‘Calon Langsung’ Jadi Pilihan UMNO Untuk PRK Kemaman

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan parti itu berkemungkinan menampilkan calon langsung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan diadakan 2 Disember ini.

Kaedah sama, menurut Presiden UMNO itu pernah dilakukan BN pada pilihan raya tertentu sebelum ini iaitu calon dipilih tanpa melihat kepada hierarki jawatan dalam parti dan ia diterima dengan baik.

“Besar kemungkinan kaedah sama akan kita lakukan di (PRK Parlimen) Kemaman ini, insya-Allah,” katanya ringkas bagi mengulas mengenai kriteria calon yang akan dinamakan BN pada PRK itu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Retreat Biro Politik UMNO Kedah, hari ini.

Calon BN bagi PRK itu dijadual diumumkan pada Isnin depan (13 Nov) di Kuala Lumpur.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan Che Alias Hamid daripada Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu pada PRU15 selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika tempoh berkempen.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan 2 Dis dan hari penamaan calon pada 18 Nov, manakala hari pengundian awal pada 28 Nov.

Ahmad Zahid berkata bagi beliau, apa yang penting bukan hanya kemenangan untuk PRK itu, tetapi sekurang-kurangnya majoriti undi seteru politik boleh dikurangkan.

“Itu adalah indikasi kepada kejayaan yang akan kita mulakan di Kemaman,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau komited untuk merealisasikan resolusi-resolusi yang dicapai pada pemukiman hari ini yang disertai ahli jawatankuasa seluruh Biro Politik UMNO Kedah.

“Saya yakin kita mempunyai tempoh 36 bulan dari sekarang untuk persediaan menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum) ke-16, walaupun mungkin agak terlalu awal, tetapi kita mesti mengambil beberapa tindakan terutamanya dalam penyatuan pemikiran kepimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

“Langkah yang dilakukan ini insya-Allah akan diikuti negeri lain dan beberapa kaedah untuk struktur organisasi di peringkat jentera pelaksanaan pilihan raya juga akan dirombak dan insya-Allah kita akan mulakan pada PRK Kemaman ini,” katanya. — BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles