JEMPOL: Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan cadangan menggunakan istilah ‘Perikatan Barisan Nasional’ (PBN) bagi merujuk kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak pernah dibincangkan secara rasmi.
Beliau menyifatkan idea yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu sekadar cadangan peribadi dan bukan pendirian yang dipersetujui kedua-dua gabungan.
“Saya pun tak pernah dengar, cuma dia syok-syok saja kot. Cadangkan, bukan ada perbincangan sampai peringkat itu pun.
“Kita ada parti masing-masing. PN ada partinya, BN ada partinya. PBN itu pula datang dari mana? Bukan ada parti PBN. Syok-syok sahajalah. Saya anggap itu satu ‘perhiasan’ sahaja, tidak perlu dibesar-besarkan pun.
“Hal bukan dasar, orang pun tidak ada bincang, dia seorang sahaja cadang-cadang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Umum Perdana PN dan BN Parlimen Jempol di Bandar Seri Jempol, pada Khamis.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi mengenai penjenamaan baharu bagi kerjasama politik antara PN dan BN.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mencadangkan penggunaan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi menggambarkan kerjasama antara kedua-dua gabungan dalam menghadapi PRN.
Menurut Hamzah, istilah itu dicadangkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung bentuk kerjasama yang dijalinkan oleh PN dan BN.










