Cadangan caj jualan EV naikkan kos pemilikan, jejas peralihan tenaga bersih – Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Cadangan mengenakan caj tambahan ke atas setiap jualan kenderaan elektrik (EV) disifatkan tidak wajar kerana berpotensi meningkatkan kos pemilikan sekali gus menjejaskan sasaran kerajaan mempercepatkan peralihan tenaga bersih.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu akan mengurangkan kemampuan rakyat untuk beralih daripada penggunaan bahan api fosil kepada EV.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya fokus mengurangkan halangan serta kos pemilikan EV, bukannya menambah beban kewangan baharu kepada pengguna.

“Prinsip ‘Lesser Government in Business’ menggariskan bahawa kerajaan perlu berperanan sebagai penggubal dasar dan pemudah cara, manakala sektor swasta menjadi pemacu utama pelaburan. Kerajaan tidak seharusnya menjadi pemain yang bersaing dalam industri.

“Dalam konteks ini, pembangunan rangkaian pengecas EV seharusnya dipacu oleh pelaburan sektor swasta berdasarkan dasar, garis panduan keselamatan dan insentif yang ditetapkan, bukannya dibiayai melalui caj baharu yang dikenakan kepada pembeli,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas laporan media mengenai kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada 4 Ogos lalu yang memaklumkan kerajaan sedang mengkaji mengenakan caj ke atas setiap EV yang dijual bagi membiayai pembangunan rangkaian pengecas awam.

Mengulas lanjut, Naib Presiden Wawasan Negara itu menjadikan Jepun sebagai contoh terbaik dalam membangunkan ekosistem EV menerusi kerjasama strategi kerajaan dan sektor swasta.

Jelasnya, negara matahari terbit itu berjaya mempercepatkan infrastruktur pengecasan dengan memberi insentif pelaburan tanpa mengenakan caj tambahan kepada pembeli kenderaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menilai semula cadangan berkenaan bagi memastikan dasar yang dilaksanakan kekal memberi dorongan kepada rakyat untuk beralih kepada penggunaan EV.

BBerkaitan

Latest articles