Cabar Darurat? Anwar Hanya Buang Masa

Usaha pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan Proklamasi Darurat hanya sia-sia apabila mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan, demikian menurut peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Menjelaskan perkara itu, Mohamed Haniff berkata Proklamasi Darurat berada di bawah Perkara 150 (8)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan proklamasi darurat.”

Jika ada pihak yang tetap mahu mencabar darurat, katanya mereka patut menumpukan kepada isu ‘nasihat’ perdana menteri dan bukan terhadap proklamasi darurat.

“Bagi saya, secara jujur, peruntukan sedemikian (Perkara 150 (8)) akan menjadikan permohonan itu amat sukar dilayan oleh mahkamah, meskipun jika anda mencabar nasihat yang diberikan (perdana menteri), kerana mahkamah akan memutuskan bahawa jika kami mendengar permohonan ini, secara tidak langsung kami melayan permohonan bagi mencabar Proklamasi Darurat.

“Situasi mengenai perkara ini tidak jelas kerana belum terdapat kes dari segi undang-undang,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz yang berkata, proklamasi itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong berpuas hati, oleh itu tidak ada alasan yang membenarkan sebarang permohonan dibuat kepada mahkamah berhubung kesahannya.

“Sesetengah peguam mungkin berhujah bahawa terdapat niat tidak baik, saya tidak rasa ini adalah alasan yang kukuh kerana peruntukan (perlembagaan) menyebut bahawa apa pun sebabnya, tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan proklamasi darurat,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menggesa semua ahli parlimen untuk mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan Proklamasi Darurat dan mendesak untuk diadakan sidang Parlimen sebelum 31 Januari ini.

Mereka turut mendakwa pengisytiharan darurat itu sebagai satu jalan mudah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan kuasa.

Pada 12 Jan lepas, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengisytiharkan darurat yang akan dikuat kuasa sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif bagi membendung pandemik COVID-19 yang semakin memburuk di Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles