KOTA KINABALU: Konfrontasi secara berkumpulan yang didakwa berlaku terhadap remaja, Zara Qairina Mahathir pada 15 Julai 2025 disifatkan mempunyai kepentingan klinikal dan berkemungkinan menjadi pencetus kepada tekanan emosi akut yang dialaminya.
Perkara itu dinyatakan Pakar Psikiatri, Dr Wong Haw Huo ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-75 dalam inkues kematian Zara Qairina.
Menurut beliau, berdasarkan keterangan saksi yang diteliti, si mati dikatakan berdepan tuduhan daripada beberapa pelajar termasuk pelajar senior, selain berlakunya pemeriksaan terhadap barangan miliknya, ejekan dan komen negatif secara terbuka.
Katanya, Zara turut dilaporkan menangis, menafikan tuduhan yang dikenakan sebelum mengasingkan diri dalam keadaan kelihatan amat tertekan.
“Daripada sudut klinikal, ketiadaan sokongan atau usaha menenangkan si mati sejurus selepas konfrontasi itu adalah sesuatu yang signifikan.
“Beliau juga dilaporkan bersendirian dalam tempoh agak lama ketika berada dalam keadaan tertekan, selain menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi, pengasingan diri dan tingkah laku luar kebiasaan pada awal pagi 16 Julai 2025,” katanya.
Dr Wong berkata, keadaan tersebut berkemungkinan mencerminkan tekanan emosi yang akut, rasa malu dan terhina, selain menunjukkan keupayaan mengawal emosi yang semakin merosot.
Beliau turut menjelaskan tempoh singkat antara konfrontasi pada 15 Julai dengan insiden yang berlaku pada awal pagi keesokan harinya mempunyai nilai klinikal kerana menunjukkan gangguan kawalan emosi berlaku dalam tempoh yang hampir dengan kejadian berkenaan.
“Dalam situasi sedemikian, pertimbangan, keupayaan berfikir secara rasional dan mengawal tingkah laku berkemungkinan telah terjejas,” katanya.
Secara keseluruhan, beliau merumuskan bahawa Zara mengalami tekanan emosi yang terkumpul hasil gabungan beberapa faktor, termasuk kerentanan perkembangan diri, kepekaan terhadap hubungan rapat, sifat impulsif dan tekanan hubungan interpersonal di sekolah berasrama.
Tambahnya, keadaan itu turut dipengaruhi salah faham yang berulang, penyebaran khabar angin, pemulauan sosial, konflik dengan rakan sebaya serta pengalaman yang dianggap memalukan ketika peristiwa pada 15 Julai 2025.
Bagaimanapun, beliau berkata, bahan yang diteliti turut menunjukkan Zara mempunyai beberapa faktor pelindung seperti kebolehan bergaul, membuat refleksi diri, berusaha memperbaiki hubungan dengan orang lain, mempunyai harapan terhadap masa depan, pendekatan berasaskan agama dalam menghadapi tekanan serta hubungan psikologi yang rapat dengan ibunya.
“Berdasarkan imbangan kebarangkalian, adalah munasabah untuk berpendapat bahawa peristiwa pada 15 Julai menjadi tekanan hubungan interpersonal yang berlaku secara mendadak ketika si mati sememangnya berada dalam keadaan emosi yang tertekan.
“Pada ketika itu, beliau dipercayai mengalami gangguan kawalan emosi secara akut sehingga menjejaskan keupayaan berfikir secara mendalam dan menggunakan strategi daya tindak yang sesuai,” katanya.
Namun, Dr Wong menegaskan penilaiannya tidak boleh dianggap sebagai penentuan muktamad terhadap niat sebenar si mati kerana ia dibuat secara retrospektif tanpa pemeriksaan psikiatri ketika Zara masih hidup.
Beliau berkata, pendapat tersebut bergantung kepada keterangan pihak ketiga, dokumen, bahan penulisan, rakaman audio, temu bual serta bahan-bahan yang dikemukakan sepanjang prosiding inkues.
“Walaupun terdapat batasan, bukti yang tersedia menyokong rumusan bahawa si mati mengalami tekanan hubungan interpersonal yang terkumpul dan tekanan emosi yang memuncak dalam konteks pengalaman beliau di sekolah berasrama,” katanya.










