Buli: MARA Tamatkan Pengajian 10 Pelajar MRSM

 

KUALA LUMPUR: 10 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terbabit dengan insiden membuli dengan kekerasan seorang rakan mereka pada minggu lalu, ditamatkan pengajian di institusi itu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini.

Ujarnya, esyuarat JDM telah mengkaji kes berkenaan dengan teliti sebelum mengambil keputusan itu.

Menurut Azhar, MARA memandang serius kejadian buli yang berlaku dan hukuman yang diputuskan menunjukkan pihaknya tegas dan tidak berkompromi perbuatan membuli dalam kalangan pelajar di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan tajaan MARA.

Malah kesemua ibu bapa pelajar yang ditamatkan pengajian hari ini juga telah dimaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa berkenaan.

“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, keputusan itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang terbabit, selaun dijadikan tauladan kepada pelajar yang lain agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

MARA, tegasnya mahu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, namun pada masa sama mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik agar diterima oleh masyarakat.

“MARA sentiasa komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.”

“Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan melalui aktiviti pelajar ia termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles