SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihati pengundi dan penyokong parti itu agar tidak melepaskan peluang keemasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini untuk menggunakan kuasa demokrasi bagi menolak sebarang bentuk pengkhianatan politik.
Beliau berkata, sokongan padu daripada rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi dan kebajikan masyarakat yang telah dirancang sepanjang dua penggal pentadbiran PH di negeri itu dapat diteruskan tanpa gangguan.
”Kepada penyokong dan pengundi di Negeri Sembilan, jika kita sayangkan negeri ini, jika kita ingin melihat pembangunan terus berjalan, ekonominya lebih baik dan peluang pekerjaan terus meningkat, inilah masanya untuk kita bangkit bersama.
”Saya merayu kepada semua, termasuk sahabat-sahabat yang berada di luar sana, tolong balik kampung untuk kita keluar mengundi pada 1 Ogos nanti. Tunjukkan rasa tidak puas hati kita kepada mereka yang telah mengkhianati mandat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena, malam ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan pimpinan tertinggi parti gabungan melibatkan PKR, DAP dan Amanah, serta ribuan jentera dan penyokong parti.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan turut menetapkan sasaran agar peratusan keluar mengundi pada PRN kali ini mencecah 80 peratus, berbanding purata 70 peratus sebelum ini, bagi memberi isyarat yang jelas terhadap masa depan demokrasi negara.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan nasihat kepada seluruh jentera dan penyokong akar umbi agar tidak berasa lemah semangat atau gundah-gulana ekoran tempoh kempen yang dijangka panjang.
Sebaliknya, beliau mahu mereka merapatkan saf dan memanfaatkan tempoh tersebut dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan penjelasan yang matang kepada masyarakat setempat.
”Jangan kita mengeluh, jangan kita rasa gundah-gulana untuk menyampaikan semua apa yang berlaku kepada masyarakat. Ini peluang kita untuk mengajar mereka tentang apa itu erti demokrasi, perpaduan dan persahabatan sejati.
”Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, yang tidak boleh dikotak-katikkan pada bila-bila masa,” katanya.










