Bukan soal harga, tetapi tiada telur

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan mengumumkan harga kawalan baharu untuk telur dilihat sebagai tidak relevan tidak berkesan untuk mengatasi masalah kekurangan telur yang berlaku.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, soal harga tidak timbul pada masa ini, tetapi apa yang berlaku adalah kekurangan telur atau tidak dapat membeli telur di pasaran.

Kata Yoon Yeau, beliau tidak faham dengan keputusan penetapan harga yang dibuat oleh Kabinet baharu selepas bermesyuarat selama dua jam.

“Ramai pengguna beranggapan bahawa harga telur adalah terapung selama ini sedangkan telur merupakan barang kawalan sejak November tahun lalu dan kawalan harga telah berlaku lebih setahun.

“Ini merupakan kawalan harga paling lama yang pernah berlaku untuk telur,” katanya kepada Sinchew Daily.

Yoon Yeau berkata, kerajaan perlu berunding dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk semua agensi terbabit bagi mencari jalan penyelesaian untuk masalah telur yang berlaku.

“Kerajaan mahu melaksanakan harga baharu, tetapi mereka tidak pernah berdialog dengan kami.

“Kerajaan memang boleh mendapatkan data termasuk kos dan harga melalui pegawai, tetapi kami berharap kerajaan boleh berbincang dengan kami dan memahami punca telur masih tidak ada walaupun dua tiga bulan sudah berlalu,” katanya.

Jelasnya, kawalan harga yang dilakukan kerajaan membabitkan telur gred A, B dan C yang secara keseluruhannya melambangkan 75 peratus telur di pasaran.

“Di peringkat penternakan pula, 65 peratus telur yang dihasilkan adalah gred A, B dan C manakala bakinya adalah gred AA, D, E, telur putih dan telur pecah.

“Telur pecah adalah telur yang mempunyai kesan retakan tetapi masih boleh digunakan dan akan dijual dengan sangat murah.

“Telur pecah ini biasanya dijual secara terus kepada sektor makanan yang menggunakan telur pada kadar cepat dan telur pecah tidak akan dijumpai di kedai biasa,” katanya.

Beliau berkata, kawalan harga dan subsidi yang dilaksanakan sebelum ini telah mendorong kekurangan telur dalam pasaran.

“Walaupun ditambah dengan subsidi, ia gagal menyelesaikan kerugian yang dialami penternak sehingga mereka berdepan masalah aliran modal.

“Dalam keadaan terdesak, penternak kecil telah menggulung tikar manakala ladang sederhana dan besar mengurangkan pengeluaran,” katanya.

Susulan daripadanya, Yoon Yeau berkata, kerajaan harus membenarkan semula pengapungan harga telur.

“Ini adalah soal permintaan dan penawaran yakni izinkan harga telur turun naik mengikut keadaan pasaran,” katanya

BBerkaitan

Latest articles