KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini mendakwa empat ADUN Barisan Nasional (BN) yang akan keluar gabungan itu untuk menyokong pihak lawan.
Presiden UMNO itu menegaskan, bukan BN, tetapi empat wakil rakyat PN yang akan menyatakan sokongan terhadap BN dan calon Kerajaan Perpaduan itu.
Terdahulu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu ketika berucap di kempen di Felda Chemomoi mendakwa beberapa Adun BN akan menyokong PN jika gabungan itu menang PRK Pelangai 7 Okt ini.
“Walaupun itu propaganda mereka, kita juga mempunyai maklumat dalaman dan sebenarnya mereka juga (ADUN PN) akan bersama dengan kami.
“Jadi, kita berharap empat (ADUN) itu datang daripada mereka (PN),” katanya Ahmad Zahid.
Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan Muhyiddin, sambil berkata ADUN BN menyatakan kesetiaan kepada gabungan dan tidak akan meninggalkan parti untuk menyertai PN.
Beliau berkata, dakwaan Muhyiddin dibuat untuk mengeliru dan menakut-nakutkan rakyat menjelang PRK Pelangai.
Pahang belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti sejak ia dikuatkuasakan di peringkat persekutuan pada Oktober tahun lalu.