Muhyiddin Akui Sukar Tawan Johor, PN Tak Mampu Jadi Kerajaan

PARIT RAJA: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Perikatan Nasional (PN) berdepan cabaran untuk mengambil alih pentadbiran Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, namun menegaskan parti itu tetap memerlukan jumlah kerusi yang mencukupi bagi memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan.

Menurut beliau, kewujudan blok pembangkang yang kukuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting bagi memastikan setiap dasar, keputusan dan perbelanjaan kerajaan negeri sentiasa dipantau serta dipersoalkan demi kepentingan rakyat.

“Walaupun kita mungkin tidak dapat membentuk kerajaan negeri, kita masih memerlukan kerusi yang mencukupi supaya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai semak dan imbang.

“Kerajaan tidak boleh bertindak sesuka hati. Setiap perbelanjaan wang negeri perlu dijelaskan dan dipertanggungjawabkan dalam sidang DUN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Bersatu Demi Johor di Parit Raja.

Muhyiddin berkata, rakyat perlu memanfaatkan PRN sebagai peluang memilih wakil rakyat yang bukan sahaja mampu membawa pembangunan, malah berani menyuarakan kepentingan rakyat serta memastikan kerajaan sentiasa bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.

Beliau turut mengingatkan bahawa tekanan kos sara hidup masih menjadi isu utama yang membelenggu rakyat ketika ini, dengan ramai berdepan peningkatan harga barangan dan pendapatan yang tidak lagi seiring dengan kos kehidupan.

Menurutnya, keadaan itu menuntut rakyat memilih pemimpin yang benar-benar mampu membawa perubahan serta memperjuangkan kebajikan mereka di DUN.

Kerusi DUN Parit Raja menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon PN, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; calon Barisan Nasional (BN), Nor Rashidah Ramli; dan calon Pakatan Harapan (PH), Shazwan Dzainal Abidin.

PRN Johor menetapkan hari pengundian pada 11 Julai, manakala proses pengundian awal telah berlangsung semalam.

BBerkaitan

Latest articles