JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik mempersoalkan tindakan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilihat seolah-olah mengetepikan mandat sedia ada demi kepentingan agenda politik peribadi sekelompok pihak.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘tamak’ kerana sanggup mempertaruhkan nasib rakyat di saat mereka sedang bergelut dengan kos sara hidup demi memburu kekuasaan yang lebih besar.
”Seolah-olah kuasa yang ada, mandat yang telah rakyat berikan tak cukup. Tamak, nak lagi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Dialog PRN Johor yang disiarkan secara langsung di TV1 RTM malam tadi.
Dr Maszlee turut membidas naratif politik yang dimainkan sejak kebelakangan ini, termasuk dakwaan bahawa kemenangan besar sesebuah parti dalam PRN ini akan digunakan sebagai ‘kunci’ untuk membebaskan individu tertentu daripada hukuman penjara.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada naratif yang dimainkan oleh sesetengah pihak bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor akan membuka jalan kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
”Dan lebih malang lagi bila baru-baru ni dikatakan, ‘Oh, apa ni kalau dapat menang besar, maka ada seseorang yang akan dibebaskan daripada penjara.’
”Jadi orang kata, ‘Eh, jadi kami ni, rakyat ni menjadi percaturan, menjadi apa ni… bidak di papan catur hanya untuk melepaskan seorang daripada penjara saja?'” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Pendidikan itu menegaskan bahawa fokus utama pengundi ketika ini adalah isu kebajikan, kestabilan ekonomi, dan masa depan keluarga, bukannya survival politik individu di mahkamah.
”Jadi, di mana maruah kami? Adakah kami ni hanya untuk memuaskan apa ni… nafsu sekelompok politisyen yang inginkan kekuasaan yang lebih?” soal beliau.
Menurutnya, denyut nadi sebenar rakyat pada waktu ini menjurus kepada perkara-perkara asas yang lebih mendesak bagi kelangsungan hidup pasca-pandemik.
”Walhal rakyat inginkan kestabilan, rakyat inginkan harga barang yang munasabah, rakyat ada keperluan untuk membeli rumah mampu milik, dan rakyat inginkan supaya mereka dapat pendidikan yang baik untuk anak-anak. Tapi tidak,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Johor agar keluar beramai-ramai pada hari pengundian bagi menolak amalan politik usang tersebut dan membuktikan bahawa suara rakyat tidak boleh dipermainkan untuk kepentingan individu tertentu.










